KUCHING: Kepercayaan golongan muda terhadap dasar yang diperkenalkan
kerajaan sekarang menunjukkan Barisan Nasional (BN) mempunyai kemampuan
untuk menang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Timbalan
Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari
Tun Abang Openg berkata, golongan terbabit beranggapan dasar yang
diperkenalkan seperti gagasan 1Malaysia amat praktikal.
Menurutnya, bagi mereka pemimpin sedia ada benar-benar membantu rakyat dan merancang masa depan terbaik untuk negara.
“Saya
bertemu dengan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai malam
kelmarin, mereka memberitahu abhawa pentadbiran di bawah Datuk Seri
Najib Tun Razak (Perdana Menteri) begitu praktikal.
“Ini
menunjukkan terdapat angin perubahan pemikiran mereka terhadap
propaganda tidak betul yang dilemparkan pihak pembangkang,” katanya.
Beliau
berkata demikian pada Majlis Pemukiman Jentera Pilihan Raya Umum (PRU)
Ke-13 P.194 Petra Jaya Peringkat Cawangan N8 Satok di sebuah hotel
terkemuka di sini, semalam.
Sehubungan itu, Abang Johari yang juga
Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan menjelaskan, di bawah BN
sekarang, generasi muda mempunyai harapan terutama dengan pengenalan
beberapa projek mega yang bakal memberi banyak peluang pekerjaan dengan
pendapatan tinggi untuk mereka.
“Saya memang nampak harapan dengan perancangan pelbagai pembangunan,” ujarnya.
Menurutnya,
dasar yang diperkenalkan kerajaan BN adalah untuk membantu rakyat dan
memberikan masa depan terbaik kepada masyarakat pada masa akan datang.
“Kita tidak banyak omong kosong tetapi melakukan kerja,” jelasnya.
Beliau memberitahu, rakyat sekarang sudah mula mengetahui golongan yang memberi kebaikan dan keburukan kepada mereka.
“Orang
sudah mula sedar mana intan dan mana kaca. Kita (BN) bawa intan dan
pihak sebelah sana bawa kaca yang mudah pecah,” katanya.
Abang
Johari menambah, kemajuan negeri ini pada masa depan banyak bergantung
kepada kemampuan kerajaan membimbing pemimpin muda hari ini.
“Kalau hendak melihat masa depan negara, lihatlah generasi muda sekarang.
“Jika orang muda selalu melakukan protes maka begitulah masa depan,” tambahnya.
Hadir sama Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof dan Senator Dayang Madinah Tun Abang Openg.
No comments:
Post a Comment
Komen anda tanggungjawap anda